Tuesday, 19 April 2016

KONSEP PENGURUSAN BILIK DARJAH

Pengurusan bilik darjah merupakan perkara yang perlu dilakukan oleh guru untuk menyusun pelajar, ruang, masa dan peralatan supaya proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan. Ini termasuk usaha guru memupuk penglibatan dan kerjasama pelajar dalam aktiviti dan mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan.

Esah Sulaiman dalam Stoner (2004), mengatakan pengurusan sebagai suatu proses yang sistematik yang melibatkan aktiviti meancang, mengorganisasi, memimpin dan menyelaraskan sumber dalam sesebuah organisasi. Bilik darjah atau kelas ialah tempat pengajaran itu dilaksanakan. Menurut Khalid Ismail (2005), Pengurusan bilik darjah merupakan satu proses yang memerlukan guru mengurus bilik darjah agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dapat dijalankan.

Lemlech (1998) menjelaskan bahawa pengurusan bilik darjah sebagai orkestra dalam kehidupan. Pengurusan bilik darjah memerlukan pembentukan kurikulum, penyelenggaraan prosedur dan sumber pengajaran. Aspek yang perlu diberi keutamaan adalah aspek penyusunan suasana bilik darjah, hal ini perlu bagi memaksimumkan keberkesanan, pemantauan perkembangan murid serta tanggungjawab guru dalam memikirkan kebarangkalian masalah yang mungkin akan timbul.

Manakala, menurut Haliza Hamzah et al. (2009), mentafsirkan pengurusan bilik darjah sebagai organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajaran  dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Kesimpulannya pengurusan bilik darjah dapat didefinisikan sebagai tindakan dan langkah yang perlu digunakan untuk mengekalkan peraturan bilik darjah. Pengurusan bilik darjah juga melibatkan penyusunan tempat duduk pelajar, peralatan yang digunakan, peruntukan masa dan kaedah pengajaran yang akan diaplikasikan di dalam bilik darjah.