Pengurusan bilik darjah merupakan
perkara yang perlu dilakukan oleh guru untuk menyusun pelajar, ruang, masa dan
peralatan supaya proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan.
Ini termasuk usaha guru memupuk penglibatan dan kerjasama pelajar dalam
aktiviti dan mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan.
Esah Sulaiman dalam Stoner (2004),
mengatakan pengurusan sebagai suatu proses yang sistematik yang melibatkan
aktiviti meancang, mengorganisasi, memimpin dan menyelaraskan sumber dalam
sesebuah organisasi. Bilik darjah atau kelas ialah tempat pengajaran itu
dilaksanakan. Menurut Khalid Ismail (2005), Pengurusan bilik darjah merupakan
satu proses yang memerlukan guru mengurus bilik darjah agar aktiviti pengajaran
dan pembelajaran yang berkesan dapat dijalankan.
Lemlech (1998) menjelaskan bahawa pengurusan
bilik darjah sebagai orkestra dalam kehidupan. Pengurusan bilik darjah memerlukan
pembentukan kurikulum, penyelenggaraan prosedur dan sumber pengajaran. Aspek
yang perlu diberi keutamaan adalah aspek penyusunan suasana bilik darjah, hal
ini perlu bagi memaksimumkan keberkesanan, pemantauan perkembangan murid serta
tanggungjawab guru dalam memikirkan kebarangkalian masalah yang mungkin akan
timbul.
Manakala, menurut Haliza Hamzah et al.
(2009), mentafsirkan pengurusan bilik darjah sebagai organisasi dan kawalan
guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran
berlangsung supaya pengajaran dapat
dilaksanakan dengan berkesan.
Kesimpulannya pengurusan bilik darjah
dapat didefinisikan sebagai tindakan dan langkah yang perlu digunakan untuk
mengekalkan peraturan bilik darjah. Pengurusan bilik darjah juga melibatkan
penyusunan tempat duduk pelajar, peralatan yang digunakan, peruntukan masa dan
kaedah pengajaran yang akan diaplikasikan di dalam bilik darjah.






